Monday, April 13, 2009

Seni Silat adalah satu seni yang terhasil daripada budi dan budaya bangsa yang bertujuan untuk menjamin keamanan dan kesejahteraan bersama. Ia adalah kebudayaan dan peradaban bangsa Melayu yang harus diwarisi oleh generasi sekarang sebagai media pendidikan dalam membentuk keperibadian, disiplin, mental dan fizikal supaya mampu melaksanakan tindakan yang berfaedah dalam rangka menjamin keselamatan diri sendiri dan kerajaan.

Seni Silat pada suatu ketika dahulu adalah lambang kemegahan pendekar pendekar hulubalang raja, panglima dan pucuk pimpinan Melayu lama. Kini ia semakin pupus kerana kecenderungan anak anak muda terhadap seni mempertahankan diri semakin pudar. Ia mungkin disebabkan tiada kesedaran dan kurang galakkan dari ibubapa yang terpengaruh dengan budaya hidup zaman moden ini.

Para sarjana dan pengkaji berpendapat bahawa seni silat wujud dan diwarisi sejak zaman berzaman lagi. Kini silat tergolong sebagai satu seni mempertahankan diri yang bertaraf dunia dan disegani yang berasal dari timur. Sememangnya ia adalah leluhur bangsa rumpun Melayu, sama seperti kita mengenali negara Jepun yang terkenal dengan Seni Karate, Korea dengan Seni Tae Kwan Do sementara Negeri Cina dengan Seni Kung Fu nya.

Dalam perubahan, pembaharuan arus kemajuan zaman sains sekarang, silat memang tidak lagi menjadi unsur mempertahankan negara. Kini kita berada dalam zaman teknologi canggih yang menuntut kita melaksanakan peranan dan tugas dalam cara yang berbeza. Sungguh pun sifat sesuatu budaya itu adalah dinamis dan berubah mengikut perubahan dan kemajuan masyarakat nya tidak bermakna segala warisannya terus pupus tanpa dipelihara. Ertinya dalam senario peradaban Melayu kemajuan seni silat terletak hanya di tangan orang Melayu sendiri sebagai pewaris yang sah demi memelihara maruah dan warisan bangsa.

Terima Kasih kami kepada
Tn. Hj. Mohd Anuar Bin Hj. Abdul Hamid, PJK.

2 comments:

  1. Anonymous15/4/09 17:24

    salam.
    good article, keep it up.

    pasir gudang.

    ReplyDelete
  2. Anonymous1/10/09 00:38

    assalamualaikum,

    macam mana kalau saya nk join silat ni???

    nk pegi daftar kt mane yek??

    terimakasih,

    ReplyDelete